Sabda Nabi: "Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah padanya kebaikan, akan diberi kefahaman dalam agama"

~~

Saturday, February 27, 2010

Jalan Dakwah Pasti Ada Durinya


Dakwah telah lama dimulai sejak zaman dahulu kala lagi. Zaman nabi-nabi yang terdahulu hinggalah sampai kepada zaman nabi junjungan besar kita, nabi Muhammad SAW. Dakwah ini disusuli oleh para sahabat setelah kewafatan nabi. Seterusnya diikuti oleh para tabi’in, tabi’ tabi’in, dibuntuti oleh kaum selepasnya hingga sampai zaman sekarang ini, era abad ke 20. Tidak lain dan tidak bukan dakwah ini adalah bertujuan untuk menegakkan kalimah Allah diatas bumi Allah ini agar manusia mengimani bahawa Allah lah Tuhan yang Esa, yang wajib disembah. Inilah antara tujuan Allah menjadikan kita makhluk di atas bumi ini.

“ Allah Pelindung (yang mengawal dan menolong) orang-orang Yang beriman. ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). dan orang-orang Yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut Yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya”. (surah al-Baqarah:27)

Kebaikan vs kejahatan. Begitu yang dapat digambarkan bahawa setiap perkara baik pasti akan ada perkara buruk yang akan menyusulinya. Maksudnya yang baik ini pasti akan ada perkara jahat yang akan menentangnya.

Dakwah=tentangan

Begitu juga dengan dakwah. “Dakwah” dan “penentangan” adalah suatu perkara yang sinonim. Sudah menjadi lumrah dan asam garam dalam dakwah setiap perkara yang menuju kebaikan akan ditentangan. Sejarah telah menukilkan akan perkara ini. Lihat sahaja lipatan-lipatan sejarah, dalam al-Quran begitu banyak kisah yang diceritakan oleh Allah sebagai peringatan bagi kita hambaNya bahawa dakwah pasti akan ada penentangan.

Nabi musa ditentang firaun, nabi luth ditentang umatnya, begitu juga nabi yunus, nabi sulaiman dan begitu juga dengan nabi-nabi yang lain termasuk juga nabi junjungan kita, nabi Muhammad SAW. Baginda begitu kuat ditentang oleh umatnya malah penentangan itu datangnya dari keluarganya sendiri. Orang yang paling dekat dengannya.

Lebih dekat lagi, kita lihat bagaimana As-syahid Syeikh Ahmad Yasin yang berkerusi roda, yang tidak mampu dari sudut zahirnya juga ditentang hebat. Beliau dibunuh dengan dilancarkan serangan bom(roket) seusai beliau solat subuh berjemaah dimasjid yang telah menghancurkan jasadnya.

Di dalam Negara kita sendiri, dakwah dari kalangan ulama’ dan orang-orang yang cintakan Islam juga hebat ditentang. Lihat sahaja pelbagai isu yang berkaitan Islam banyak ditentang dan diperdebatkan. Penubuhan NGO-NGO yang bertopengkan Islam yang dikuasai oleh golongan-golongan yang mempunyai autonomi inilah yang menjadi akar tunjang dan tulang belakang gerakan-gerakan penentangan Islam di Malaysia. Isu yang masih berlegar-legar lagi di bibir-bibir rakyat Malaysia tentang isu hukuman sebat keatas Kartika kerana didapati bersalah meminum arak dikhalayak ramai. Mahkamah Syariah Pahang telah memutuskan hukuman keatas Kartika, dan Kartika sendiri bersedia untuk menjalani hukuman tersebut, namun ianya masih belum dapat dilaksanakan dek kerana penentangan dari NGO-NGO dan golongan pemuka Islam yang kononnya berlindung atas dasar “melindungi hak-hak wanita” dan hak asasi manusia.

Memang benar dakwah pasti akan disusuli dengan penentangan. Baik penentangan dari masyarakat, kawan-kawan mahupun keluarga kita sendiri. Inilah yang perlu kita sedari. Haruslah kita sebagaimana muslim bersedia menghadapi tentangan yang pasti akan melanda kita. Jangan kita ingin melarikan diri dari tanggungjawab ini kerana kita memang telah ditakdirkan menjadi pendakwah sejak kita lahir lagi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...