Sabda Nabi: "Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah padanya kebaikan, akan diberi kefahaman dalam agama"

~~

Sunday, February 26, 2012

Mus’ab bin Umar: Pewira Islam

Bismillah ar-rahman ar-rahim. Puji dan syukur pada Allah Taala atas segala kenikmatan yang telah dilimpahkan kepada kita semua especially nikmat iman dan Islam. Kepada Nabi junjungan alam, Muhammad bin Abdullah, sama-sama kita panjatkan selawat dan salam ke atas baginda Nabi. Dialah sosok yang telah mengerah segala keringat untuk menyampaikan dakwah dan menegakkan kalimah syahadah di atas muka bumi ini.

Disaat matahari mula terbenam, dan azan maghrib menanti untuk dikumandangkan memanggil sang hamba untuk mengadap dan menyembah Sang Kholiq, di saat itu juga hujan turun sebagai rahmat buat manusia sekalian alam. Menyuburkan tanah yang kontang, memberi kehidupan pada yang memerlukan. Di sela waktu ini, mindaku cuba berkarya untuk mengasah pena yang sudah lama tidak gunakan.


Kisah seorang pemuda Mekah menjadi inspirasi, sebagai penguat jiwa bahwa perlunya kita berdiri dibarisan hadapan menyahut seruan amar makruf nahi mungkar. Kisah pemuda ini mengetuk pintu hati untuk turut sama berjuang untuk Islam. Walau iman tidak sehebat beliau, namun tuntutan dakwah menuntun untuk kita melaksanakan sekadar yang kita mampu.


Allah Taala berfirman:

لا يكلف الله نفسا إلا وسعها



Nabi juga bersabda:

من رأى منكم منكرا فيغيّره بيده, فإن لم يستطع فبلسانه, فإن لم يستطع فبقلبه, وذالك أضعف الإيمان (رواه مسلم)

Artinya: “ Barangsiapa diantara kalian melihat kemungkaran, hendaklah ia ubagh dengan tangannya, apabila ia tidak mampu, maka dengan lisannya, dan kalau tidak mampu maka dengan hatinya. Yang demikian itu adalah selemah-lemah iman”. (Riwayat Muslim)

Allah tidak akan bertanya tentang kejayaan yang kita lakukan, tapi Allah akan bertanya apa yang telah kita lakukan. Sekecil manapun dakwah yang kita lakukan, yakinlah bahwa ianya  tetapkan akan diganjari oleh Allah Ta’ala. Bahkan, usaha yang kita lakukan tidak akan sama sekali disia-siakan oleh Allah selagi amal dakwah yang kita lakukan masih tetap berada dalam konsep keikhlasan.

Sosok tubuh yang cuba saya nukilkan pada entri kali ini berkisar pada seorang sahabat Nabi yang bernama Mus’ab bin Umair. Menurut kisah yang disampaikan beliau merupakan seorang yang berketurunan bangsawan yang kaya raya. Sering dilihat memakai pakaian yang bagus-bagus dan rapi. Dianugerahkan wajah yang tampan hingga menjadi kegilaan para anak dara dan menjadi keinginan para ibu-ibu untuk dijadikan menantu.

Beliau tertarik dengan Islam disaat orang-orang Mekah memusuhi ajaran suci itu. Bait al-Arqam bin Abi Arqam menjadi rumah kedua dalam mendalami ajaran Islam. Sungguh menurut sirah, bait ini telah menjadi saksi terbinanya generasi-generasi yang kental, kuat, berani dan teguh dalam berpegang pada ajaran Islam dan tidak gentar serta tsabat dalam ajaran ini walau ujian dan seksaan yang hebat dilakukan pada mereka. Cabaran, ujian serta mehnah yang melanda tidak menjauhkan hati mereka dari sinar Islam dan tetap dalam hidayah Ilahi. Begitu cekal hati sahabat Nabi yang dibina dan ditarbiyah oleh Rasul Mulia.

Mus’ab bin Umair juga tidak terlepas dalam pembinaan ini. Beliau cekal di saat ujian mula datang demi menguji keimanannya. Ibunya, tatkala mendengar perkhabaran bahwa anaknya telah meninggalkan ajaran nenek moyong (menyembah berhala) dan memilih Islam sebagai cara hidup, ibunya mendesak dia meninggalkan ajaran mulia ini. Berbagai cara dilakukan oleh ibunya termasuk berlapar sehingga tampak pada wajah orang yang sakit.

Diceritakan, pada suatu hari Mus’ab melihat ibunya dalam keadaan pucat lesu. Dia pun menanyakan sebabnya. Kata ibunya, dia telah berniat di hadapan berhala bahwa dia tidak akan makan dan minum sehingga Mus’ab meninggalkan Islamnya. Mendengar jawaban ibunya, Mus’ab berkata kepada ibunya: “Andaikata ibu mempunyai seratus nyawa sekalipun, dan nyawa ibu keluar satu demi satu, nescaya saya tetap tidak akan meninggalkan Islam sama sekali”.

Sungguh cekal hati beliau, diuji dengan cobaan menerusi insan yang telah mengandungnya selama 9bulan. Namun demi agama yang diredhai Allah ini, ianya harus dilakukan. Sungguh, tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam melakukan kemaksiatan kepada Allah. Inilah yang perlu kita fahami bersama, dan Mus’ab telah memahami akan hal ini. Inilah sedikit ujian yang diberi Allah pada hambanya untuk menguji tahap keimanan hamba-Nya.

أحسب النّاس أن يتركوا أن يقولوا ءامنّا وهم لا يفتنون (العنكبوت : ٢)

Artinya: Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan:
“kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji?(Q.S. al-Ankabut: 2)

Melihat pada kecekalan dan komitmen Mus’ab terhadap agamanya, ibu beliau telah mengusir beliau dari rumah. Maka, segala kemewahan yang dimiliki, pakaian yang cantik-cantik telah ditinggalkan. Beliau berada dalam keadaan sederhana. Dikisahkan, sewaktu perang Uhud, beliau yang turut sama berjihad telah gugur syahid di medan peperangan. Setelah berakhirnya peperangan tersebut Baginda Nabi dan para sahabat mengumpulkan tentera-tentera islam yang syahid. Apabila mendekati jasad Mus’ab, kain yang dipakai oleh Mus’ab tidak cukup untuk menutup jasadnya. Kain yang ada pada tubuh Mus’ab, apabila di tarik ke atas nampaklah bahagian bawahnya (kaki). Apabila ditarik pula ke bawah (bahagian kaki), maka nampaklah di atasnya. Sehinggakan jasad beliau ditutup dengan menggunakan kain tersebut pada bahagian atas (kepala) dan separuhnya lagi dengan daun-daun.

Jika dilihat dari segi khidmat beliau memberi sumbangan dalam pergerakan dakwah Islam, ianya sungguh besar. Beliau memainkan peranan penting dalam penyebaran agama tauhid ini. Beliau diutuskan oleh Nabi Muhammad sebagai duta Islam yang pertama untuk menyebarkan agama Islam di kota Madinah. Hasil dari dakwahnya, seramai 12 orang madinah telah menerima Islam sebagai agama mereka dan mereka inilah yang bertemu dengan Baginda Nabi pada musim haji untuk mengikat janji setia dengan Nabi (perjanjian Aqabah 1). Pada tahun berikutnya, seramai 70 orang lagi telah menganuti agama tauhid ini dan datang ke Mekah pada musim haji untuk mengikat janji setia dengan Nabi yang dikenali dengan Perjanjian Aqabah 2.

Kejayaan dakwah Mus’ab ini telah membuka jalan untuk para sahabat dan Baginda Nabi untuk berhijrah ke Madinah. Kejayaan ini merupakan proses awal dalam pembentukan Negara Islam Madinah.

Ini secebis dari kisah sahabat Nabi bernama Mus’ab bin Umair. Kecekalan, keberanian, ketaqwaan dan sumbangan beliau ini harus di ambil sebagai suatu cabaran dan pedoman bagi kita yang menyatakan beriman pada Allah dan Rasul-Nya. Tidak salah untuk saya menukilkan kisah Mus’ab bin Umair sebagai satu perkongsian ilmu agar kita semua mengambil manfaat dan iktibar. Seorang daie harus bersedia dalam semua keadaan untuk menyumbang kepada Islam. Jadilah kita duta Islam untuk ummah.

Jangan kita tanya apa yang orang lain buat untuk Islam, tapi tanya diri kita sendiri apa sumbangan kita untuk Islam.

Wallahu’alam.

*artikel ini sudah 1minggu yang lalu tertunda untuk disiapkan, Alhamdulillah hari ini dapat siapkannya.

Rukoh, Darussalam.
26-02-2012
10.00 p.m

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...