Sabda Nabi: "Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah padanya kebaikan, akan diberi kefahaman dalam agama"

~~

Friday, August 3, 2012

Cerita Aku & Anak Didik-ku: Ucaplah.... Alhamdulillah..


Hari ini sempat menyantuni anak-anak murid.

Gembira melihat telatah dan celoteh mereka. Walaupun kadang-kadang ada rasa geram, namun geram saya bukan geram untuk membenci, tapi geram saya geram untuk menyanyangi. Sungguh, mereka kanak-kanak yang dalam proses untuk kita bina dengan baik. Mereka merupakan aset untuk Islam. Mereka juga aset untuk negara ini. Jadi mereka perlu didik. Tugas guru bukan saja mengajar, tapi tugas guru juga adalah mendidik. Mendidik dengan maksud, siap membetulkan mereka apabila mereka berbuat salah walau di mana saja mereka berada, bukan menegur dan membetulkan mereka di dalam kelas sahaja. Apabila diluar, 'lu lu, gua gua'

Di sekolah tempat saya mengajar, yaitu Sekolah Rendah Islam Pintar Tahfiz Fuqaha (SRIPT Fuqaha), Bangi, pihak sekolah menjadikan runtinan bagi setiap pelajar untuk melaksanakan solat sunat dhuha. Ia dilakukan untuk mengembalikan energi tubuh dan mensyukuri akan nikmat Allah. Waktu dhuha diajarkan kepada kita umat Islam untuk solat sunat dhuha. Dikatakan solat dhuha mampu untuk memberikan kemudahan rezeki untuk kita dengan izin Allah Ta'ala. Moga dengan solat ini Allah berikan rahmatnya kepada anak-anak ini agar mereka dapat belajar dengan baik dan mudah untuk memahami setiap pelajaran yang diajarkan kepada mereka.

Baik, cerita saya bersama anak-anak murid saya hari ini bermula setelah mereka melaksanakan solat dhuha. Selepas mereka berzikir + solat dhuha + doa, saya mengambil peluang untuk memberi sedikit tazkirah sebagai peringatan buat mereka.

Perkara pertama yang saya ingatkan kepada mereka adalah sentiasa bersyukur pada Allah dengan cara mengucapkan 'Alhamdulillah..'. saya sempat bertanya mereka "Ustaz nak tanya, hari ini siapa yang ucap alhmdulillah setelah bagun dari tidur? Cuba angkat tangan siapa yang ucap alhmdulillah." Mereka semua diam. Hanya ada dua tiga orang yang mengangkat tangan. Saya lihat muka-muka jernih mereka, semua terpaku, muka monyok. Malu mungkin. Saya tersenyum. Baik, saya cuba mengubah keadaan agar mereka semua bersemangat. "Ok, mari sama-sama kita ucap alhamdulillah." Saya mulakan "alhamdulillah...." Terus bergema sekolah dengan suara mereka menyebut "alhamdulillah..." Riak wajah mereka kembali ceria.

Saya ingatkan mereka untuk selalu mengucapkan alhamdulillah. Sebab, sewaktu kita tidur, kita seolah-olah berada dalam kematian. Saat tidur, amal baik dan buruk tidak dicatat. Kita telah tinggalkan kehidupan dunia sebentar. Setelah itu, Allah bangkitkan kita semula untuk menikmati indahnya alam ini. dapat mendengar alunan lunak suara azan, bunyi kicauan burung, ayam yang berkokok dan lain-lain. Apakah semua nikmat ini tidak perlu disyukuri? Oleh yang demikian, wajar untuk kita mengucapkan syukur pada Allah atas keizinan memberi peluang untuk kita terus hidup untuk beramal mencari bekal menuju negeri yang abadi yaitu alam akhirat. 

Ini nasihat saya untuk mereka, semoga nasihat ini kekal dalam ingatan mereka dan terus beramal mengucapakan lafaz syukur apabila dibangkitkan kembali dari tidur.

Saya teruskan lagi nasihat dengan bertanya bagaimana cara untuk kita bersyukur selain mengucapkan lafaz alhamdulillah. Ada yang memberi jawapan yang kreatif, ada juga yang hanya diam. Menunggu jawapan dari sang guru. Saya teruskan dengan memberi jawapan. "Cara kita hendak tunjukkan rasa syukur pada Allah ialah melakukan solat. Solat 5 waktu jangan kita lupa untuk buat. Tanda kita syukur, kita laksanakan perintah ini dengan baik, ikhlas dan serius. Tahu tak solat secara serius tu macamaner?"  
Saya menambah pertanyaan. 

Ada yang menjawab "solat secara serius ialah solat dengan bersungguh-sungguh." Saya membenarkan jawapan mereka. Saya nyatakan lagi "solat secara serius bermula dengan cara kita ambil wuduk dengan sempurna dan baik. Setelah itu kita solat dengan baik dan sempurna. Tidak bermain-main waktu solat. Jika kita solat dengan baik, kita akan dapat pahala yang banyak. Bila pahala banyak, kita akan masuk....". "Syurga.....", suara mereka bergema lagi. Saya menambah, "apabila di akhirat nanti perkara pertama yang akan dihintung adalah solat. Jadi kene solat dengan bersungguh-sungguh. Tak nak main-main lagi ye..." Mereka khusyuk mendengar. 

Saya menambah pertanyaan tentang puasa. Siapa yang puasa penuh sebanyak 13 hari. Kebanyakkan mereka mengangkat tangan. Saya bangga dengan kesungguhan mereka. Walaupun masih berusia 6 tahun, namun mampu untuk melakukan ibadah puasa ini. Semoga latihan puasa ini menjadikan mereka terus bersemangat untuk melaksanakannya tika usia mereka berada dalam usia baligh. Saya memberi nasihat dan semangat untuk mereka terus tingkatkan semangat untuk menyempurnakan puasa selama 30 hari tanpa ada halangan. Mereka menyahut semangat ini dengan kata-kata "insya Allah boleh..."

Saya tersenyum gembira. Seronok berada bersama mereka. Saya boleh belajar sesuatu dari mereka.

Saya doakan moga nasihat dan kata-kata semangat saya hari ini kepada mereka berbekas dan terpahat di dalam hati mereka.

Amiin amiin, ya Rabbal 'aalamiin...

Mohd Zulkarnain,
13 Ramadhan 1433/ 2 Ogos 2012.
Bangi/Kajang, Selangor






No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...